ad
AGENDA

Putra Heights: Pastikan mangsa cedera pulih, hampir RM1 juta tampung kos rawat

16 Jul 2025, 3:11 AM
Putra Heights: Pastikan mangsa cedera pulih, hampir RM1 juta tampung kos rawat

SHAH ALAM, 16 JULAI: Hampir RM1 juta telah disalurkan bagi menampung kos rawatan mangsa tragedi kebakaran paip gas Putra Heights.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dana oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan itu meliputi kos rawatan di hospital kerajaan serta swasta.

Jelas beliau, bantuan tambahan seperti alatan perubatan, kos pengangkutan dan sokongan penjaga turut disediakan bagi memastikan mangsa dapat kembali pulih dengan selamat.

"Komitmen ini jelas menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri," kongsi beliau di Facebook.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan seramai 150 mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital kerajaan dan swasta pada hari kejadian, 1 April lalu.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada 8.10 pagi itu, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.

Letupan berkenaan turut menyebabkan kawah besar terbentuk di lokasi kejadian dengan kedalaman 9.8 meter dan keluasan sekitar 21 x 24 meter.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.