AGENDA

Pelantikan pengendali kutipan parkir dilakukan secara terbuka bersama 26 syarikat lain

15 Jul 2025, 8:00 AM
Pelantikan pengendali kutipan parkir dilakukan secara terbuka bersama 26 syarikat lain
Pelantikan pengendali kutipan parkir dilakukan secara terbuka bersama 26 syarikat lain

SHAH ALAM, 15 JULAI: Dato' Menteri Besar menegaskan lantikan syarikat pengendali, Rantaian Mesra Sdn Bhd bagi mengendali kutipan bayaran parkir kenderaan bukannya dilakukan secara terus sebaliknya terbuka.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata syarikat yang dilantik menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dilakukan selepas penilaian dibuat membabitkan 26 syarikat lain.

"Peratusan kutipan boleh dibincangkan semula tetapi diingatkan prosesnya bukan 'direct nego' (rundingan terus) sebab 26 syarikat lain juga buat penilaian.

[caption id="attachment_710502" align="aligncenter" width="1120"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik Platform Selangor di Foyer SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

"MBI meletakkan kepentingan negeri dan tidak melepaskan kepada mana-mana pihak sepenuhnya," katanya ditemui pada majlis jalinan sinergi dan apresiasi rakan strategik PLATS 2025 di Foyer SUK hari ini.

Bermula 1 Ogos ini, syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd akan melaksana kutipan parkir kenderaan di empat pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Tiga PBT lain ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim memaklumkan hasil kutipan akan dibahagikan 40 peratus kepada PBT, 10 peratus kepada MBI dan 50 peratus kepada syarikat konsesi.