ad
AGENDA

Program eHATI: Jais bekerjasama dengan polis, gesa orang ramai salur maklumat

12 Jul 2025, 6:16 AM
Program eHATI: Jais bekerjasama dengan polis, gesa orang ramai salur maklumat

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pihak atau individu yang mempunyai maklumat berhubung penganjuran program eHATI digesa tampil menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian berkenaan yang didakwa berlaku di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada 27 hingga 30 September tahun lalu.

Bagaimanapun beliau menjelaskan akan memanggil beberapa individu pada Selasa ini selain bekerjasama dengan polis bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Jais akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan hukum syarak.

“Jais memandang berat perkara seumpama ini dan akan mengambil segala langkah perlu untuk membendung serta membanteras apa juga aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak serta nilai etika yang ditolak di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata pada 2022, pihaknya pernah menerima aduan daripada bekas peserta eHATI yang mendakwa program berkenaan tidak sesuai untuk dijadikan modul dalam motivasi rumah tangga.

“Berdasarkan aduan tersebut, jawatankuasa pengawalan akidah Majlis Agama Islam Selangor telah memanggil penganjur eHati dan meminta mengubah beberapa modul supaya menepati syarak,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC, yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh, dipercayai berlaku pada September tahun lalu.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dalam kenyataannya memohon pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap program berkenaan yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.