OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Selangor memperluaskan penggunaan lampu jalan LED berkuasa solar sebagai penyelesaian hijau dan lebih jimat untuk infrastruktur awam.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Izham Hashim berkata langkah itu dilaksanakan menerusi inisiatif Selangor Bercahaya dengan lebih 350 unit lampu solar berteknologi tinggi dipasang tahun ini.
Katanya, penggunaan lampu tersebut yang mempunyai waranti lima tahun dapat mengurangkan kos tenaga dan penyelenggaraan, selain direka khas untuk mengurangkan vandalisme dan kecurian kabel.
“Lampu jenis ini membantu mengatasi masalah vandalisme kerana reka bentuknya moden dan tersembunyi. Ia juga meminimumkan keperluan penyelenggaraan.
“Masalah kecurian kabel juga dapat dikurangkan kerana lampu ini tidak bergantung kepada pendawaian elektrik yang terdedah,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Menurut Izham, harga lampu solar ini kini lebih mampu milik berbanding sebelum ini, hasil peningkatan pengeluaran, malah ada yang lebih murah berbanding lampu jalan sedia ada.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut membantu menerangi jalan-jalan persekutuan terutama di kawasan yang sering berlaku kecurian kabel, selain secara berperingkat menggantikan infrastruktur lama.
Katanya, pihak berkuasa tempatan juga digalakkan menggunakan lampu solar ini sebagai penyelesaian yang lebih lestari dan selamat untuk pencahayaan awam.