Oleh Ufairah Tarmidzi
HULU LANGAT, 1 JULAI: Beberapa pakar khususnya dalam bidang perundangan dilantik menganggotai jawatankuasa khas yang berperanan merangka polisi baharu untuk mengelak kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights berulang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa khas akan meneliti aspek perundangan yang boleh dikuatkuasakan sama ada melalui undang-undang kecil, syarat baharu dalam unit pusat Setempat (OSC), enakmen negeri atau akta.
"Itu salah satu daripada terma rujukan ataupun satu antara tugas-tugas jawatan kuasa khas berkenaan, untuk melihat sudut ataupun bingkai perundangan yang boleh dikuatkuasakan.
“Langkah ini sebahagian daripada proses pembelajaran dan tindakan susulan yang perlu diambil terhadap insiden tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum kerjasama (MoC) bersama tiga rakan strategik iaitu Universiti Selangor (Unisel), Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) serta Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) di Loji Rawatan Air Langat 2 disini hari ini.
Semalam, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencadangkan pembaharuan undang-undang susulan pembentangan laporan punca letupan Putra Heights tersebut.
Jawatankuasa itu akan diketuai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), disertai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba dan polis.
Insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius sehingga mengakibatkan 81 rumah musnah, 57 terkesan tanpa terbakar manakala 218 rumah lagi tidak terjejas.




