ad
AGENDA

Pelajar SPM 10A mohon matrikulasi dapat tempat tanpa mengira kaum

26 Jun 2025, 9:03 AM
Pelajar SPM 10A mohon matrikulasi dapat tempat tanpa mengira kaum

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Semua pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas dan memohon untuk Program Matrikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Ini termasuk pelajar yang mendapat 10A dan terdapat keputusan mata pelajaran A-. Dasar ini sama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang 10A SPM 2024 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian,” menurut kenyataan itu.

KPM turut memaklumkan pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi kekal dan tidak terjejas.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.