ad
AGENDA

Program pengajian UIS unggul, setaraf institusi terkemuka Timur Tengah

25 Jun 2025, 9:00 PM
Program pengajian UIS unggul, setaraf institusi terkemuka Timur Tengah
Program pengajian UIS unggul, setaraf institusi terkemuka Timur Tengah
Program pengajian UIS unggul, setaraf institusi terkemuka Timur Tengah

HULU LANGAT, 25 JUN: Program pengajian ditawarkan Universiti Islam Selangor (UIS) setaraf universiti tempatan lain dan institusi terkemuka di Timur Tengah merangkumi kualiti, kurikulum dan pengiktirafan.

Naib Canselornya Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah berkata kualiti itu menjadikan UIS pilihan terbaik, terutama untuk anak Selangor melanjutkan pengajian menerusi 79 program peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Menurutnya pendekatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun ini, yang memberi penajaan ijazah pertama hanya bagi pengajian di UIS dan universiti tempatan, bertepatan dengan hasrat memperkukuh ekosistem pendidikan Islam di Malaysia.

[caption id="attachment_707070" align="alignleft" width="441"] Temu bual bersama Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah sempena Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen UIS Kali Ke-27. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Salah satu titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) adalah UIS seharusnya menjadi destinasi penyambungan pengajian peringkat tinggi.

“Selangor memiliki universiti Islam sendiri dan menawarkan program merangkumi setiap bidang. Kalau pelajar mahu ke Timur Tengah untuk mengambil pengajian syariah, usuluddin atau Bahasa Arab, semua itu ada ditawarkan di UIS dan ia diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Ini sekali gus memperlihatkan kualiti pendidikan yang ada di UIS, adalah selari dengan universiti tempatan yang lain dan universiti terkenal di Timur Tengah,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, dalam usaha memperluas capaian antarabangsa, UIS bercadang memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Timur Tengah dan Asia, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan dan mobiliti pelajar.

Jelasnya, selaras visi membuka lebih banyak peluang pendidikan, UIS merancang membangunkan fasiliti pascasiswazah di tanah seluas 34 ekar di Cyberjaya kurniaan Sultan Selangor.

“Tanah itu bersebelahan dengan Masjid Raja Haji Fisabilillah dan proses menukar status tanah daripada tanah komersial kepada tanah wakaf Irsod telah bermula sejak awal tahun ini.

“Ini membolehkan penjanaan pendapatan dari luar bagi tujuan wakaf dan sudah ada pihak berpotensi berminat membina pusat bahasa Arab di tanah tersebut dengan pembiayaan sekali gus.

[caption id="attachment_344355" align="alignright" width="520"] Pelajar baharu Universiti Islam Selangor (UIS) berkirar pada majlis suai kenal pada 2019. Foto UIS[/caption]

“UIS memahami keprihatinan Tuanku dalam memastikan pelajar Selangor diberi asas kukuh di peringkat ijazah pertama sebelum melangkah ke luar negara bagi pengajian pascasiswazah yang dilihat sebagai strategi bijak melahirkan graduan yang matang, berfikiran kritis dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan penajaan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) ke Timur Tengah tahun ini.

Menurut Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata penajaan ijazah pertama bagaimanapun hanya bagi pengajian di UIS dan universiti tempatan lain.

Menurutnya, sukatan pelajaran disediakan di UIS seiring perkembangan dunia digital dan kecerdasan buatan bagi memenuhi keperluan industri dan akademik masa kini dengan tumpuan kepada pembangunan ilmu, sahsiah dan nilai keislaman.

Jelasnya, pelaksanaan program Online Digital Learning (ODL), Micro Credential Programme (MCP), program pembelajaran bersepadu, naik taraf sistem seiring keperluan semasa, dilaksanakan bagi memastikan kurikulum UIS kekal relevan dengan keperluan industri digital sekali gus memperkasa kebolehpasaran pelajar.

“Ketulenan dikekalkan dalam masa disepadukan dengan ilmu moden terutama berkaitan teknologi. Contohnya, pelajar akan ambil jurusan Usuludin Sarjana Muda dan Multimedia jadi pelajar belajar Sarjana Muda Usuludin, dalam masa yang sama dia juga akan menguasai multimedia,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.