HULU LANGAT, 25 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan berangkat menyempurnakan Istiadat Pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor sebagai Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) pada 19 Julai depan.
Menurut Naib Canselor UIS, pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan memasyhurkan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sebagai Canselor pertama universiti berkenaan, selain dua Pro Canselor akan menerima watikah pelantikan.
Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah berkata selepas istiadat pemasyhuran, akan berlangsung Istiadat Konvokesyen Kali Ke-27 UIS yang akan meraikan 1,528 graduan pelbagai program.
“Ini satu kebanggaan dan penghormatan bagi seluruh warga UIS setelah dinaiktaraf kepada universiti penuh. Tuanku Sultan berkenan memasyhurkan Tengku Permaisuri Selangor sebagai Canselor UIS,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin mengikuti rapat perkembangan UIS dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan universiti selari dengan hasrat pembangunan pendidikan untuk Selangor.
“Saya dipanggil untuk membentangkan dan menyampaikan maklumat berkaitan dengan UIS. Tuanku sendiri telah menitahkan agar UIS menjadi universiti pilihan pertama anak-anak di Selangor untuk melanjutkan pengajian.
“Jadi kami di pihak pengurusan UIS, menjunjung titah Tuanku dan akan berusaha sedaya upaya mengekalkan nama baik UIS dan membawa hasil positif untuk Selangor,” katanya.
UIS dinaik taraf kepada universiti penuh bermula 14 Oktober 2022 dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang ditubuhkan pada 1995.
Institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu telah melahirkan kira-kira 31,000 graduan sejak 1998 hingga tahun lalu.