ad
AGENDA

MBI, NAICO jalin kerjasama, langkah berani jadikan Selangor ibu kota aeroangkasa serantau

17 Jun 2025, 3:28 PM
MBI, NAICO jalin kerjasama, langkah berani jadikan Selangor ibu kota aeroangkasa serantau
MBI, NAICO jalin kerjasama, langkah berani jadikan Selangor ibu kota aeroangkasa serantau

SHAH ALAM, 17 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO) memeterai surat hasrat (LoI) bagi menjadikan Selangor sebagai ibu kota aeroangkasa serantau.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usahasama tersebut memperkukuh komitmen kedua-dua pihak dalam pembangunan tenaga kerja industri aeroangkasa menerusi Taman Aero Selangor (SAP).

“Dari cadangan penubuhan Aerospace Talent Centre hingga kerjasama nasional melalui MyAERO, inisiatif ini merupakan satu lagi langkah berani untuk menjadikan Selangor sebagai ibu kota aeroangkasa serantau.

“Selangor bukan sahaja melabur dalam infrastruktur, tetapi juga dalam bakat-bakat muda yang akan menerajui inovasi masa depan industri aeroangkasa di Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Amirudin bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han menyaksikan pertukaran dokumen LoI antara MBI Selangor dan NAICO di Pameran Udara Antarabangsa Paris (IPAS) 2025, hari ini.

[caption id="attachment_706008" align="aligncenter" width="701"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor (SAP) semoena Pameran Udara Antarabangsa Paris (IPAS) 2025 pada 17 Jun 2025. Foto Facebook Amirudin Shari.[/caption]

Dalam pada itu, Amirudin berkata modal insan akan menjadi teras utama dalan pembangunan SAP menerusi penyediaan latihan, penyelidikan dan pembangunan kemahiran masa hadapan.

Menurutnya, SAP dibina untuk memberi keyakinan kepada pelabur melalui ekosistem yang sentiasa bersedia kepada akses pasaran bersama pemain industri terkemuka, penyelidikan bertaraf dunia serta kemudahan urusan pelaburan.

“Kerajaan Negeri berharap ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang berpanjangan dan produktif. SAP merupakan pemangkin perubahan, selamat datang ke Selangor,” katanya.

Sebanyak 11 pemain industri aeroangkasa tempatan menyertai IPAS 2025 sebagai pempamer di Pavilion Malaysia, dengan lima daripadanya merupakan syarikat dari Selangor.

Selangor sebagai penyumbang utama sektor aeroangkasa menyertai delegasi negara ke IPAS 2025 bagi menyempurnakan pelancaran SAP di peringkat antarabangsa.

SAP yang juga merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, dijangka memacu sasaran nasional tahunan RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan menjelang 2030.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.