ad
AGENDA

Pelancaran khas Taman Aero Selangor sempena Pameran Udara Antarabangsa Paris

16 Jun 2025, 1:41 PM
Pelancaran khas Taman Aero Selangor sempena Pameran Udara Antarabangsa Paris

SHAH ALAM, 16 JUN: Pelancaran khas Taman Aero Selangor (SAP) akan diadakan sempena Pameran Udara Antarabangsa Paris (IPAS) 2025 sekali gus menjadi saksi penting perkembangan pesat industri aeroangkasa di negeri ini.

Dato' Menteri Besar berkata pameran udara bermula hari ini hingga 22 Jun juga melibatkan pertukaran surat niat (LOI) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO).

“IPAS 2025 akan menjadi saksi penting perkembangan industri aeroangkasa di Selangor apabila kita akan menyaksikan pelancaran khas Selangor Aero Park serta pertukaran LOI di antara MBI Selangor bersama NAICO.

“Kami diberi taklimat perjalanan program oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Paris sebelum perbincangan lanjut bersama NAICO dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ,” kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Amirudin berkata sebanyak 11 syarikat Malaysia menyertai IPAS 2025 sebagai pempamer dengan lima daripadanya dari Selangor.

Pada 5 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Amirudin menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembangunan SAP yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kargo udara utama di rantau Asia Tenggara.

SAP merupakan aspirasi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjana pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dalam sektor aeroangkasa.

Meliputi kawasan seluas kira-kira 600 ekar dalam KLIA Aeropolis, taman tersebut mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.