ad
AGENDA

Selebriti jadi umpan pakej haji, bakal jemaah perlu waspada

13 Jun 2025, 10:52 AM
Selebriti jadi umpan pakej haji, bakal jemaah perlu waspada
Selebriti jadi umpan pakej haji, bakal jemaah perlu waspada

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 13 JUN: Menampilkan selebriti atau agamawan sebagai duta antara taktik agensi pelancongan 'memancing' bakal jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.

Justeru, ketua bimbingan Juara Travel & Tours Sdn Bhd menasihati orang ramai supaya bijak menilai dan tidak mudah terperdaya dengan sesuatu pakej ibadah yang ditawarkan.

Muhammad Umarul Anas Ibrahim menyifatkan tindakan memperdaya bakal jemaah sebagai kesalahan besar kerana menghalang mereka menunaikan ibadah, selain mencemarkan nama baik agama.

“Tidak dinafikan ada bakal jemaah menjadi mangsa penipuan tanpa disedari kerana mereka diperalat dan terlalu percaya kepada kata-kata duta tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Tambahnya, masyarakat juga perlu menyemak rekod atau pengalaman jemaah terdahulu berkaitan pakej yang ditawarkan dan bukan bergantung sepenuhnya kepada duta yang mempromosikan iklan itu.

[caption id="attachment_704608" align="aligncenter" width="727"] Jemaah haji berjalan keluar selepas selesai menunaikan ibadah melontar Jamrah pada 6 Jun 2025. Ibadah melontar yang dilaksanakan jemaah haji di Mina bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah membawa maksud lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri dan penolakan sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau turut mengingatkan bakal jemaah untuk menyemak sama ada agensi yang menawarkan pakej haji atau umrah berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) atau tidak.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tindakan tegas terhadap individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan menipu umat Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di negara ini.

Baginda turut menyeru umat Islam memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat berlesen serta diiktiraf pihak berkuasa.

Pada masa sama, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut menggesa umat Islam lebih berwaspada terhadap penipuan pakej haji susulan kemurkaan yang dizahirkan Sultan Sharafuddin.

Pengerusinya Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin turut menggesa mangsa membuat laporan polis serta menyerahkan maklumat lengkap bagi membantu siasatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.