ad
AGENDA

Menteri: Permit pengendali bas terbabit nahas penuntut UPSI dibatal serta-merta

11 Jun 2025, 7:10 PM
Menteri: Permit pengendali bas terbabit nahas penuntut UPSI dibatal serta-merta
Menteri: Permit pengendali bas terbabit nahas penuntut UPSI dibatal serta-merta

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Permit syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelmarin dibatalkan serta-merta.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata syarikat yang beralamat di Kedah itu juga didapati memajak permit bas kepada pihak ketiga di Kelantan, dengan bayaran RM500 sebulan.

Beliau berkata perjanjian pajakan yang melibatkan antara dua pihak itu melanggar syarat permit kenderaan awam.

“Saya telah mengarahkan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) untuk membatalkan permit syarikat terlibat serta-merta selepas tempoh surat tunjuk sebab tamat,” katanya.

[caption id="attachment_671867" align="alignleft" width="500"] Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Angkasapuri di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.

Mengulas lanjut mengenai siasatan awal tragedi itu, Loke berkata pengendali syarikat bas persiaran berkenaan juga didapati melakukan kesalahan tidak mengaktifkan sistem pengesanan global (GPS).

“Bila siasatan, kita minta syarikat pengendali serahkan laporan GPS, mereka gagal kerana dimaklumkan GPS dalam kenderaan itu tidak diaktifkan. Jadi, ini pun satu lagi kesalahan besar.

“Jadi, pembatalan serta-merta semua permit atau lesen operasi bas itu tidak akan ada rayuan (untuk pembatalan) kerana ini kecuaian yang tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Mengenai dakwaan pemandu bas bahawa kemalangan berkenaan berpunca daripada kegagalan sistem brek kenderaan, Loke berkata siasatan forensik menyeluruh akan dilakukan bagi mendapatkan laporan penuh.

“...kerana rakaman (papan pemuka) amat jelas bas itu memotong dengan laju, memecut dan terbabas. Jadi, aspek ini (dakwaan pemandu) kita akan teliti untuk bantu pihak polis ambil tindakan seterusnya,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.