SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri menyumbang 10 motosikal elektrik (e-bike) kepada polis Selangor bagi memudahkan pasukan itu menjaga keselamatan terutama dalam pencegahan jenayah.
Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM68,000 itu merupakan kesinambungan komitmen negeri dalam menyokong kecekapan pasukan keselamatan berkenaan.
“Ini adalah bantuan (seterusnya) selepas beberapa kali kita serahkan kepada polis. Sebahagiannya sangat bermanfaat antaranya khemah logistik dan bencana yang telah digunakan di Putra Heights baru-baru ini.
“Sebelum ini kita serahkan juga motosikal elektrik kepada Briged Tengah semasa penularan pandemik Covid-19 selain jet ski,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
[caption id="attachment_704174" align="alignnone" width="944"] Anggota polis mencuba motosikal elektrik ketika majlis Penyerahan E-Bike Kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, Shah Alam pada 3 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin berkata bantuan juga merupakan inisiatif pentadbiran mengutamakan keselamatan memandangkan Selangor memiliki jumlah penduduk yang ramai sekali gus bakal memberi tekanan dalam pelbagai aspek.
“Pelbagai aktiviti berlaku (di Selangor) sama ada beri ancaman atau beri potensi berlakunya kesalahan jenayah.
“E-bike ini boleh digunakan di kawasan kejiranan kecil, yang boleh dikawal untuk tindakan pencegahan atau kawalan polis dalam menjaga keselamatan dan kemudahan rakyat,” katanya.
Oktober tahun lalu, pentadbiran menyerahkan tiga khemah khas bernilai RM300,000 kepada polis Selangor sebagai langkah bersiap siaga musim tengkujuh dan bencana lain.
Khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) itu dilengkapi kemudahan internet selain memiliki ruang sesuai untuk berbincang, berehat dan rawatan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi menyelamat.
Menurut Amirudin pengalaman menyelamat tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember 2022 menyebabkan pihaknya berusaha menyediakan khemah terbabit demi memastikan operasi berjalan lancar.