ad
BERITA UTAMA

Dentuman 21 das meriam tradisi istiadat peristiwa penting negara

2 Jun 2025, 4:00 PM
Dentuman 21 das meriam tradisi istiadat peristiwa penting negara
Dentuman 21 das meriam tradisi istiadat peristiwa penting negara
Dentuman 21 das meriam tradisi istiadat peristiwa penting negara

Dentuman 21 das meriam semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong lambang penghormatan tertinggi kepada Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara dan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Upacara Tembakan Kehormatan atau 21 Guns Salute itu dikendali penuh tertib kumpulan perajurit dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Istana Negara.

Tembakan 21 das meriam sewaktu pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menjadi kemuncak istiadat penuh gilang-gemilang dan bersejarah pada 20 Julai tahun lalu.

Selepas Baginda selesai melafaz ikrar melaksanakan tugas, lagu Nobat Tabal dialunkan di Balairung Seri disusuli laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali dan nyanyian Negaraku. Serentak itulah 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Baginda antara lain diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama melibatkan empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) sebelum berangkat masuk ke Balairung Seri.

[caption id="attachment_704009" align="aligncenter" width="1039"] Anggota tentera dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja melepaskan 21 das tembakan meriam sempena Istiadat Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024. Foto Facebook 41 Bti RAD[/caption]

Upacara tradisi ketenteraan itu turut menjadi amalan biasa di peringkat antarabangsa, termasuk negara- negara Komanwel.

Pada era awal perang moden di Eropah abad ke-17, tentera laut British dari arah lautan melepaskan tujuh das tembakan meriam secara serentak. Ketibaan mereka di pelabuhan sesebuah negara yang disinggahi sebagai tanda damai dan tidak berniat untuk bermusuh.

Selepas itu, tiga das meriam balas pula dilepaskan bagi setiap tembakan, menjadikan keseluruhan 21 das.

Seiring peredaran zaman, tradisi tersebut diteruskan dalam beberapa protokol istiadat atau upacara rasmi melibatkan Seri Paduka Baginda selaku ketua negara hingga ke hari ini.

Antaranya, sambutan Hari Keputeraan, istiadat perbarisan Hari Pahlawan, keberangkatan pergi dan tiba daripada lawatan rasmi luar negara, keberangkatan meninggalkan Istana Negara, pemakluman kemangkatan atau pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Berikut beberapa contoh istiadat melibatkan tembakan meriam 21 das:

  • 30 Januari 2024 - Istiadat Keberangkatan Balik sempena tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur
  • 31 Julai 2024 – Istiadat perbarisan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Kuala Lumpur
  • 7 September 2024 – Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang oleh Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur
  • 14 September 2024 - Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Sultan Ibrahim di Dataran Pahlawan Negara, Kuala Lumpur
  • 19 September dan 22 September 2024 - Lawatan rasmi Sultan Ibrahim ke China dan keberangkatan tiba daripada republik itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Shah Alam
  • 12 September 2017 - Pemakluman kemangkatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Setar

Selain itu, lawatan rasmi ketua atau pemimpin sesebuah negara ke Malaysia bagi mengukuh hubungan persahabatan dan diplomatik bilateral juga disambut dengan jumlah das tembakan meriam yang sama.

Presiden China Xi Jinping turut diberi sambutan negara dalam lawatan tiga hari bermula pada 15 April ke negara ini. Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga menerima sambutan sama pada 27 Januari.

[caption id="attachment_704010" align="aligncenter" width="1090"] Anggota tentera dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja melepaskan 21 das tembakan meriam sempena Istiadat Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024. Foto Facebook 41 Bti RAD[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.