Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 1 JUN: Pengiktirafan PJ Eco Recycling Plaza sebagai pusat kelestarian alam sekitar pertama pihak berkuasa tempatan (PBT) oleh Malaysia Book of Records memperkukuhkan objektif pembangunan mampan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pengiktirafan tersebut mendorong MBPJ untuk meneruskan usaha menerajui kelestarian alam sekitar termasuk untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
"MBPJ bersedia menjadi penanda aras kepada pihak berkuasa tempatan lain. Pihak kami sedia berkongsi modul serta pendekatan yang diterapkan di pusat tersebut.
"Lawatan penanda aras dari PBT lain ke MBPJ memang banyak antaranya Majlis Perbandaran Kubang Pasu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Bila ada lawatan luar, bermakna mereka mengiktiraf kejayaan kami. Kita tidak mahu berjaya sendiri, kita mahu PBT lain pun berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-19 di Kota Damansara hari ini.
[caption id="attachment_703848" align="alignnone" width="700"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap sempena majlis Pelancaran Bulan Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-19 dan Perasmian Tapak Car Boot Sale Kota Damansara (PJBAHAGIA) di Kota Damansara, Peraling Jaya pada 1 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Jelasnya, PJ Eco Recycling Plaza bukan sekadar pusat pengumpulan bahan kitar semula, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan alam sekitar.
"Biasa pusat-pusat kitar semula, kita letak barang kemudian tinggal. Tapi bila kita datang situ (PJ Eco Recycling Plaza), kita dapat belajar proses bahan kitar semula contohnya kotak dikompres kemudian dijadikan perabot," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata pelancaran inisiatif 'Food With Love' akan menjadi salah satu program sempena sambutan ulang tahun bandar raya tersebut.
"Menerusi program ini, makanan akan dimasak oleh dapur komuniti di bawah badan bukan kerajaan (NGO) untuk diedarkan kepada warga emas, OKU dan kanak-kanak yang tidak mampu sediakan makanan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 31 program dan aktiviti menarik telah dirangka sepanjang bulan ini melibatkan pelbagai lapisan umur sebagai tanda penghargaan kepada warga Petaling Jaya serta memperkukuh jalinan antara pihak majlis dan komuniti.
"Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 21 Jun dan pada hari ini kita lancarkan sambutan sebagai langkah awal untuk uar-uar kepada masyarakat tentang program-program yang akan berlangsung sepanjang bulan ini," katanya.
[caption id="attachment_703853" align="aligncenter" width="700"] DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melakukan gimik perasmian arca Car Boot Sale (CBS) sempena majlis Pelancaran Bulan Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-19 dan Perasmian Tapak Car Boot Sale Kota Damansara (PJBAHAGIA) di Kota Damansara, Peraling Jaya pada 1 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]