Sisa jadi sumber: PJ Eco Recycling Plaza pacu ekonomi hijau Selangor

17 Dis 2025, 2:01 AM
Sisa jadi sumber: PJ Eco Recycling Plaza pacu ekonomi hijau Selangor
Sisa jadi sumber: PJ Eco Recycling Plaza pacu ekonomi hijau Selangor
Sisa jadi sumber: PJ Eco Recycling Plaza pacu ekonomi hijau Selangor
Sisa jadi sumber: PJ Eco Recycling Plaza pacu ekonomi hijau Selangor

SHAH ALAM, 17 DIS: Di saat negara berdepan peningkatan sisa domestik saban tahun, Petaling Jaya tampil ke hadapan dengan pendekatan baharu yang menjadikan sisa sebagai peluang ekonomi melalui kewujudan PJ Eco Recycling Plaza (PJERP).

Inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bukan hanya pusat kitar semula, tetapi sebuah hab pembelajaran, inovasi komuniti dan pemangkin ekonomi hijau yang kini menjadi rujukan dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ Zain Azly Abdul Rahman berkata PJERP membolehkan penduduk menghantar bahan kitar semula secara lebih teratur dengan sistem ganjaran pelbagai bentuk mengikut jenis bahan.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya Zain Azly Abdul Rahman ketika ditemubual di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Matlamat utama ialah meningkatkan kadar kitar semula sambil masyarakat melihat sisa sebagai sumber ekonomi baharu. Ganjaran pula menekankan kepuasan memberi dan kemudahan, bukan wang semata-mata,” katanya.

PJERP menerima hampir semua kategori bahan, antaranya:

• kertas

• plastik

• logam

• pakaian

• barangan sukan

• e-waste

• sisa pukal seperti perabot

• minyak masak terpakai

• sisa makanan

MBPJ turut menjalankan program Spring Cleaning mengikut musim perayaan termasuk pengumpulan perabot dan barangan elektrik secara percuma melalui lori RORO.

Wartawan Media Selangor Fitri Hazim Hazam mencuba mengasingkan barangan kitar semula di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tumpuan komuniti dan pendidikan

Sejak beroperasi pada 2022, PJERP mencatat lebih 16,000 pengunjung pada 2024, meningkat daripada 11,000 pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh 2023–2024, sebanyak 222,035 kilogram (kg) bahan berjaya dikumpulkan, terdiri daripada:

  • pakaian terpakai – 87,000 kg

  • kertas – 83,000 kg

  • plastik – 28,647 kg

Jumlah ini bersamaan 155,424 kg CO₂-eq, berdasarkan kaedah Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya Zain Azly Abdul Rahman menunjukkan pusat pegumpulan barangan kitar semula di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Zain berkata kejayaan itu turut menarik perhatian rakan bandar raya Petaling Jaya dari negara luar seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.

“Mereka jadikan lokasi ini rujukan. Banyak delegasi menjadikan plaza ini tempat wajib singgah,” katanya.

PJERP turut menyediakan modul pembelajaran lengkap merangkumi:

  • Galeri 3R & pameran interaktif

  • bengkel upcycling minyak masak

  • bengkel glass craft

  • bengkel pengasingan plastik sekali guna

  • bengkel eco bricks

  • Eco Free Market

  • program lawatan sekolah

    Pelajar Taska dan Tabika Majlis Bandaraya Petaling Jaya ketika melawat PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pemangkin ekonomi hijau

PJERP di SS8 Kelana Jaya bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pendidikan alam sekitar, tetapi kini muncul sebagai pemangkin ekonomi hijau yang menjana nilai baharu melalui aktiviti kitar semula dan pemulihan barangan terpakai.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menyifatkan transformasi bangunan komersial lama kepada pusat kelestarian itu bukti bahawa sisa bukan lagi beban.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“PJERP membuktikan sisa boleh menjadi sumber ekonomi melalui pembaikan, guna semula dan kitar semula.

“Data menunjukkan kutipan bahan meningkat daripada 46,936 kg (2023) kepada 106,693 kg (2024), peningkatan lebih dua kali ganda yang jelas menunjukkan potensi ekonomi hijau di Petaling Jaya,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu turut menyumbang kepada sasaran 15 peratus kadar kitar semula domestik di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) selain mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan.

Manfaat kepada komuniti B40

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei pula berkata inovasi plaza itu membantu memulihkan perabot terpakai untuk disumbangkan kepada keluarga B40.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya pernah bantu pasangan gelandangan yang menerima tilam, sofa dan meja hasil pembaikan di plaza ini.

“Terdapat juga artis tempatan menjadikan barangan terbuang sebagai aksesori, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada usahawan kecil,” katanya.

Seni dari bahan terbuang

Artis di PJERP Tan Shiok Keng atau Yuri memanfaatkan pengalaman tiga dekad dalam seni perhiasan untuk mengubah kertas terpakai menjadi kalung unik.

Artis Tan Shiok Keng atau Yuri ketika ditemubual di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Saya mahu beri kertas kehidupan baharu. Kertas yang hodoh atau pudar boleh jadi cantik semula.

“Saya harap lebih ramai membawa kertas terbuang ke plaza untuk belajar menjadikannya produk yang boleh menjana pendapatan, terutama suri rumah,” katanya.

Artis Tan Shiok Keng atau Yuri menyusun produk kraf tangan yang dihasilkannya di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 27 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR