ad
BUDAYA

Bunga Tanjung

31 Mei 2025, 8:30 AM
Bunga Tanjung

Sebelum kenal pohon sudah kenal bau bunganya

rata-rata mengongsi cerita perihal harum baunya

dari hulu ke hilir dan dari selatan ke utara

dijunjung dalam bakul dan badang

diarak sekitar pekan dan kota

ketika itu semuanya bergerak perlahan

nikah kahwin bukan kerana bebas cinta

tapi diatur dan diusahakan orang tua

pekan dan desa terasing dan terpisah

rezeki bersandarkan usaha dan kerja asas

budaya setempat belum ditembusi arus luar

begitu cara hidup sebelum era perindustrian

ketika sungai masih bersih jernih dan mengalir deras

lenggang lenggoknya menyusul liku serupa

langsung tidak sedar arus air sedang mengakis tebing

lemah mesra kemarau dan bengis buas tengkujuh

laju atau lambat pasti akhirnya tiba di muara

bertemu lautan dan pergi ke tempat lebih jauh

selepas remaja aku turut meniru gerak sungai

ke selatan mengejar jejak evolusi perindustrian

semerbak tanjung di bawah selimut langit berbintang

terang kerdip dan harum bunga mengisi harap pesan

berpuluh tahun kemudian tidak kira singgah di mana

setiap kali terbau harum tanjung

kenangan segera bangkit

di situ aku kekal remaja dan mentah.

Lee Keok Chih

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.