ad
BUDAYA

Sungai Bernam

26 Apr 2025, 12:30 AM
Sungai Bernam

Membahagi atau tersepit

perkataan berbeza tapi berkisar pada objek serupa

menurut kajian asal usul di Gunung Liang Timur

dari situ luas tersebar jejak dan daerah

golongan tua tidak kenal makna batas sempadan

bebas ke hulu atau ke hilir bahkan menyeberang

yang bermula di gunung pasti berakhir di lautan

Sungai Bernam kekal dengan lenggok serupa

terlepas dari belenggu masa dan zaman

kuning alir kerana hakisan tanah

atau merah alir kerana tumpahan darah

mesra aman atau kejam sengketa

alur masih dengan tenteram yang sama

tidak digoda hati tamak haloba

tidak diancam fitnah dan dosa

mengalir begitu, pancut air dari perut bumi

seperti kepercayaan dan pesanan orang tua

setiap patah pengajaran terpahat ke atas batu

tapi amaran gagal bergayut

dari balah politik sampai bangkit perang

rata-rata berita gelisah

setakat ketika singgah

wajah remaja terbayang semula

Sungai Bernam yang abadi muda

tidak pernah berpaut karat bohong dan daki dosa.

Lee Keok Chih

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.