AGENDA

MB: Keputusan jualan vape minggu depan, kesihatan awam diutamakan

27 Mei 2025, 8:34 AM
MB: Keputusan jualan vape minggu depan, kesihatan awam diutamakan
MB: Keputusan jualan vape minggu depan, kesihatan awam diutamakan

PUTRAJAYA, 27 MEI: Selangor dijangka memuktamadkan keputusan larangan penjualan rokok elektronik atau vape minggu depan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata namun ketetapan itu bergantung kepada perkembangan pembentangan kertas cadangan oleh EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini atau minggu depan.

“EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin sekarang ini dalam proses menyediakan kertas untuk dibentangkan dalam mesyuarat EXCO. Saya rasa menjelang minggu ini atau minggu depan kita akan buat keputusan berdasarkan dapatan fakta yang kita ada nanti.

“Kita akan buat keputusan berdasarkan dapatan yang kita terima. Pada masa sama kita turut bincang dengan pengusaha barangan vape, ini kerana kebanyakan mereka bertapak di Selangor jadi kena pertimbang kesannya.

“Saya tunggu kertasnya kita akan lihat keseluruhan aspek, ada permohonan dari pengusaha vape, kita akan dengar juga, tapi sepanjang perbincangan kita di peringkat awal ini, keutamaan adalah isu kesihatan awam terutama generasi akan datang,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan bertajuk Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menyita iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.

Menurut Jamaliah, tindakan itu selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

Terengganu dan Johor antara negeri yang telah melaksanakan larangan penjualan vape lebih awal, dengan Terengganu mengumumkan larangan berkuatkuasa 1 Ogos ini manakala Johor sejak 2016.

[caption id="attachment_702948" align="aligncenter" width="1330"] Penceramah Nouman Ali Khan menyampaikan ceramah bertajuk Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran pada sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan di Moxy Hotel, IOI Putrajaya pada 26 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]