SHAH ALAM, 24 MEI: Memperkukuh parti besama kepimpinan baharu antara tekad Dato’ Seri Amirudin Shari selepas berjaya mempertahan jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Beliau yang juga Dato' Menteri Besar Selangor turut menyeru seluruh anggota parti untuk memperkuat saf perjuangan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
“Semoga kita terus istiqamah bersama-sama dalam perjuangan ini, demi masa depan KEADILAN dan tanah air yang tercinta. Misi kita seterusnya adalah PRU16.
"Semoga KEADILAN mencatatkan kemenangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terus menerajui negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pengerusi KEADILAN Selangor itu turut berterima kasih kepada semua perwakilan dan anggota parti atas sokongan serta kepercayaan terhadapnya untuk mengekalkan jawatan naib presiden.
Pada pemilihan semalam, Amirudin meraih undi tertinggi sebanyak 7,955 undi, disusuli Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan (5,895), satu-satunya muka baharu.
Dua penyandang lagi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memperoleh 5,881 undi diikuti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dengan yang mendapat 5,757 undi.
Seramai 12 ahli KEADILAN bersaing merebut empat kedudukan untuk jawatan naib presiden pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2025-2028.