KOTA BHARU, 18 MEI: Akademi Cobra tampil lebih garang pada perlawanan kedua Kumpulan Y, di kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2025, selepas kecewa dengan perbezaan satu mata pada aksi pembukaan minggu lalu.
Ketua Jurulatihnya, Samuel Rentap Anak Meran berkata, pujian harus diberikan kepada pasukan kerana berjaya mengekalkan disiplin di bahagian pertahanan dengan hanya 13 pemain pada sebahagian masa perlawanan.
"Walaupun dikenakan beberapa penalti, pasukan masih berjaya mengekalkan aksi dengan terus bertahan dan tidak berputus asa.
"Pada perlawanan seterusnya, kita perlu mempunyai 15 pemain di padang dan melaksanakan tugasan dengan sempurna untuk mempamerkan aksi yang lebih baik," katanya.
Perlawanan kedua Kumpulan Y menyaksikan Akademi Cobra mengatasi Maktab Sultan Ismail (SIC) dengan keputusan 26-12 di Padang SIC, Kota Bharu, semalam.
Menerusi aksi berkenaan, Kapten Pasukan Akademi Cobra, Muhammad Fawaz Amirulhaq dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan.
Sementara itu, Ketua Keseluruhan Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar berkata, pasukannya berjaya mengekalkan tahap intensiti dengan bertahan dan menghalang serangan daripada pihak lawan.
"SIC bermain dengan bagus dan memberi tekanan kepada kita. Syukur jurulatih dan pasukan telah membuat persediaan rapi. Seluruh pasukan menggunakan segala pengajaran terdahulu sebagai motivasi dan momentum untuk bangkit semula pada aksi kedua ini.
"Untuk perlawanan akan datang, ia satu cabaran tetapi ini adalah ragbi dan sebab itulah kita di sini. Mahu beraksi menentang yang terbaik dan melihat sejauh mana tahap kita berada," ujarnya.
Sebagai rekod, edisi ke-10 SSR pada tahun ini menyaksikan penyertaan 36 pasukan dari seluruh negara bersaing dalam dua divisyen utama iaitu Divisyen SSR dan Akademi SSRA.


