BATU PAHAT, 17 MEI: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah dianggar bernilai RM1.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Mulia, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki terbabit yang disyaki aktif mengedar dadah sejak sebulan lepas, ditahan kira-kira 7.45 malam berdasarkan maklumat dan risikan dijalankan.
“Pemeriksaan di rumah itu menemukan serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 9.4 kilogram dianggar bernilai RM1.58 juta dan dadah disyaki ketamin seberat 460 gram dianggar berjumlah RM23,000.
“Dadah itu jika dipasarkan mampu digunakan kira-kira 47,000 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki itu menjalankan aktiviti berkenaan secara bersendirian dengan menjadikan rumah itu sebagai stor dan lokasi bagi pembungkusan semula dadah.
Polis katanya turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM45,000.
Lelaki terbabit yang negatif terhadap dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau kini direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA


