SHAH ALAM, 16 MEI: Keseluruhan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal dimanfaatkan sebagai pusat integrasi sukan, budaya, komuniti dan ruang keusahawanan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan projek itu menandakan peralihan daripada infrastruktur satu guna kepada ruang dinamik merangkumi pelbagai aktiviti yang mencerminkan kehidupan masyarakat.
Menurutnya, wajah baharu KSSA akan dilengkapi kemudahan seperti dewan serbaguna tertutup, padang latihan bola sepak, arena, ruang seni budaya dan acara, pusat beli-belah serta keusahawanan.
“Malah, selaras tema kelestarian dalam Rancangan Selangor Pertama, kawasan seluas 310,000 meter persegi akan disediakan ruang landskap hijau disertai taman botani, laluan joging dan berbasikal serta laluan mesra pejalan kaki,” katanya.
[caption id="attachment_701327" align="aligncenter" width="811"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam pada 16 Mei 2025. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembangunan KSSA di sini, hari ini.
Tengku Amir Shah dan Amirudin turut menyaksikan penyerahan surat setuju terima yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Dato’ Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Datuk Imran Salim.
Amirudin berkata majlis berkenaan permulaan rasmi kepada kerjasama bersama MRCB, firma arkitek tempatan Hijjas Architects & Planners dan pakar reka bentuk stadium bertaraf dunia, Populous.
Pada masa sama, beliau yakin kepakaran Hijas yang membina pelbagai mercu tanda bangunan di Malaysia serta firma Populous, akan memastikan KSSA berdiri megah setaraf fasiliti terbaik dunia.
[caption id="attachment_701328" align="aligncenter" width="812"] Paparan digital stadium ketika majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam pada 16 Mei 2025. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Firma Populous memainkan peranan penting dalam menjayakan stadium bertaraf dunia seperti Wembley, Stadium Olimpik London, Stadium Tottenham Hotspur, Sydney Olympic Park dan Etihad Arena.
“Saya yakin dengan usaha inklusif yang menggabungkan kepakaran berbeza ini, visi untuk KSSA dihidupkan semula sebagai mercu tanda dan perubahan baharu dapat direalisasikan,” katanya.
Projek pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama meliputi proses perobohan.
Fasa kedua diikuti binaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia, yang dijangka bermula pertengahan 2027.
Fasa terakhir pula melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.