SHAH ALAM, 15 MEI: Pengalaman menjaga bapa yang menghidap penyakit Parkinson lebih 14 tahun lalu mendorong EXCO pembangunan wanita memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi penjagaan di Selangor.
Menurut Anfaal Shaari, sektor itu bukan sahaja menumpukan aspek rawatan pesakit malah turut mengiktiraf peranan kumpulan penjaga agar mereka tidak berasa terbeban dan mempunyai ruang untuk diri sendiri.
[caption id="attachment_699917" align="aligncenter" width="737"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui selepas program Bicara Semasa di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 6 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Rumah saya sendiri jadi tempat belajar apa erti sabar, penyesuaian, dan kasih dalam menjaga orang yang sakit. Sakit ayah saya lebih kepada saraf macam kejang, mudah jatuh. Makin lama beri kesan antaranya percakapan.
“Bukan mudah dan ia perlukan kesabaran. Emak saya jaga ayah siang malam. Jadi kami pastikan ada ruang untuk dia rehat atau ‘me time’. Kadang-kadang mahu berkebun, mahu bersenam.
“Ini penting kepada penjaga. Kami buat jadual untuk pastikan semua menyumbang. Ada penggiliran kerana emak juga perlukan masa untuk dirinya,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Anfaal turut memberitahu perbincangan dan kerjasama semua ahli keluarga penting sebagai tanda sokongan moral kepada penjaga.
Bapa Anfaal, Saari Sungib adalah mantan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang selama tiga penggal (2008-2023). Di peringkat parti, Saar pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Amanah Selangor dan Ketua Amanah Gombak.
November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu:
- advokasi dan promosi
- tata kelola dan kawal selia
- penjaga terlatih dan tenaga kerja
- pelaburan dan kerjasama serta inovasi
- teknologi dan data.
Dirancang berlangsung sehingga 2023, dasar berkenaan merangkumi penjagaan untuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, serta sokongan kepada penjaga formal dan tidak formal.
[embed]https://www.tiktok.com/@anfaalsaari/video/7504242950214372615?_r=1&_t=ZS-8wLfY75xUOo[/embed]