SHAH ALAM, 14 NOV: Sebahagian kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikesan mengalami masalah kekurangan khasiat (nutrisi).
EXCO kebajikan berkata perkembangan kanak-kanak yang kini mengikuti program pemulihan di bawah pasukan khas Kerajaan Negeri dipantau dan pihaknya membantu menyedia makanan berkhasiat kepada mereka.
“Ya, ada sebahagian kanak-kanak yang mengalami isu malnutrisi. Namun kita sedang pantau keadaannya secara dekat dan membantu keperluan semasa.
“Ketika ini, di Selangor masih ada 424 anak-anak dan jumlah itu masih sama sehingga tarikh tamat Interim Protection Order pada 20 November ini,” kata Anfaal Saari kepada Selangorkini.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri turut melaksana beberapa kelas pembelajaran mengikut silibus Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selain kelas agama bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Selain itu, katanya, aktiviti psikososial turut dijalankan bagi mengenalpasti sebarang isu kesihatan mental membabitkan kanak-kanak tersebut.
Pada 30 September lalu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan unit bertindak (task force) bagi membantu kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan GISBH.
Pasukan itu dianggotai wakil daripada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta Yayasan Selgate.
[caption id="attachment_666237" align="aligncenter" width="811"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pusat perlindungan yang menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Selangor pada 30 September 2024. Turut sama Pengarah Jais Dato' Mohd Shahzihan Ahmad dan Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim serta Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM Wan Noraidah Wan Mohd Zain. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata unit bertindak berkenaan akan membimbing kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negeri.
Pada 10 September lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.