ad
EXCO

EXCO: Selangor dijangka lancar Dasar OKU suku kedua tahun ini

21 Feb 2025, 2:06 PM
EXCO: Selangor dijangka lancar Dasar OKU suku kedua tahun ini

SHAH ALAM, 21 FEB: Selangor sedang menggubal Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memberi penekanan khusus berkaitan prasarana yang lebih mesra golongan berkenaan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dasar tersebut yang juga mesra penjaga golongan OKU itu dijangka dilancar pada suku kedua tahun ini.

"Menerusi dasar ini, penekanan khusus diberikan berkaitan prasarana mesra OKU dan sokongan kepada penjaga mereka. Ini sebahagian peranan penting yang perlu dimainkan semua pihak.

"Pada masa sama, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan juga akan memastikan penguatkuasaan undang-undang yang ada seperti Akta 172 terhadap pemaju yang tidak mengikuti syarat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal yang juga EXCO pembangunan wanita memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkaitan pusat penjagaan golongan warga emas, OKU dan kanak-kanak.

"Untuk pengetahuan, Kerajaan Selangor telah pun memperkenal Dasar Speed Selangor bagi mempercepat kemajuan industri dan perumahan dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

"Oleh itu, kita akan berbincang dengan EXCO kerajaan tempatan supaya menambah kategori memudah cara kebenaran merancang untuk pusat penjagaan warga emas, OKU dan kanak-kanak," ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 memaklumkan pentadbiran negeri bakal memperkenal Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan KM kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.