SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai gudang makanan sendiri yang mampu bertahan selama tiga bulan jika berlaku kecemasan, bencana besar atau pandemik.
Dato' Menteri Besar berkata Gudang Makanan Selangor (GMS) yang terletak di Bandar Sultan Suleiman menyimpan bekalan makanan utama iaitu 5,000 tan beras dan sejuta kilogram daging sejuk beku.
"Jika berlaku kecemasan, bencana besar, atau pandemik, dan tidak boleh ada pergerakan, paling tidak, rakyat mempunyai stok selama tiga bulan untuk bertahan. Dalam waktu tertentu, boleh menjadi penimbal kepada harga pasaran supaya harga sentiasa berpatutan kepada rakyat.
"Stok GMS tidak disimpan selamanya, akan diganti secara berterusan. Jelajah Ehsan Rakyat (JER), Ehsan Mart dan pasar borong boleh menjadi platform jualan. Sebahagian kecil juga turut boleh dijadikan untuk subsidi yang disimpan kepada rakyat," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.
Beliau berkata pentadbiran negeri juga telah mengenal pasti tapak sebenar seluas 4.046 hektar di Kuala Selangor untuk membina GMS dan sedang melalui proses dokumentasi.
"Jika proses pembinaan telah bermula, GMS ini mengambil masa satu tahun setengah untuk siap.
Keselamatan makanan bukan terhad kepada beras dan daging sahaja, malah akan dikembangkan dari semasa ke semasa.
"Selangor akan terus menerajui masa depan dengan strategi keterjaminan makanan yang mapan dan lestari," katanya.
[caption id="attachment_701082" align="aligncenter" width="524"] Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]