ad
AGENDA

Pimpinan baharu KEADILAN sasar tawan 50 kerusi dalam PRU16

15 Mei 2025, 12:00 AM
Pimpinan baharu KEADILAN sasar tawan 50 kerusi dalam PRU16

SHAH ALAM, 15 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyasar sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16) bagi memperkukuh parti dan meneruskan agenda reformasi.

Pengerusi KEADILAN Selangor Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan sasaran tersebut juga antara tawaran utama barisan kepimpinan baharu yang akan bertanding dalam pemilihan kali ini.

Beliau menambah Malaysia yang bakal mencapai usia 100 tahun dalam tempoh 38 tahun lagi perlu diisi dengan asas perjuangan reformasi disediakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia perlu diisi barisan pimpinan yang disokong perdana menteri seperti Nurul Izzah (Anwar), Sim Tze Tzin termasuk rakan-rakan naib presiden serta majlis pimpinan pusat yang lain untuk menawarkan gagasan reformasi cita bangsa hingga Malaysia mencapai 100 tahun.

“Pasukan ini (Damai) berjanji akan menawan 50 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang untuk menjamin kemenangan dan mengekalkan Anwar sebagai presiden KEADILAN dan perdana menteri,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama calon Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar di Dewan Raja Muda Musa di sini, malam tadi.

Damai merujuk kepada Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif, diketuai Nurul Izzah yang akan bersaing dengan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Menurut Amirudin, pemilihan parti kali ini bukan sekadar perebutan jawatan, tetapi medan penting menyelesaikan isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan, perpaduan nasional dan perubahan iklim.

“Kita tidak boleh terperangkap dalam persaingan peribadi kerana pemilihan ini landasan memperkukuh parti dan menawarkan agenda yang jelas kepada rakyat,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau yang juga naib presiden KEADILAN menjelaskan pencalonan Nurul Izzah dibuat secara konsensus dan mendapat sokongan majoriti di Selangor membabitkan 19 cabang.

“Pencalonan tidak dibuat secara sebelah pihak, setiap ketua cabang (Selangor) dihubungi ketika saya berada di Osaka ketika itu. Majoriti bersedia menyokong Nurul Izzah untuk bertanding timbalan presiden,” katanya kepada media.

Untuk rekod, KEADILAN kini memegang 31 kerusi di Parlimen dan membentuk kerajaan perpaduan bersama gabungan parti politik DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Barisan Nasional.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.