IPOH, 14 MEI: Tiga jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi semalam, selamat dikebumikan awal pagi ini.
Jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini pada 4.50 pagi.
Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta sahabat handai.
Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar.
[caption id="attachment_700934" align="aligncenter" width="792"]
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay membentangkan Jalur Gemilang di atas keranda jenazah Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban akibat kemalangan pada sesi penghormatan terakhir serta istiadat kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Surau Al-Mustaqim FRU 5.
Diberikan istiadat kepahlawanan PDRM, kesemua keranda jenazah dan jasad yang tiba dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dilitup dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang pada 14 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Sementara itu, jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru, di sini, kira-kira pukul 5.08 pagi.
Van membawa jenazah Mohd Roslan tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.43 pagi.
Allahyarham yang berasal dari Jengka, Pahang meninggalkan isteri Nur Aini Samiun, 44, serta tiga cahaya mata iaitu Muhammad Raqin Najmi Mohd Roslan, 13, Muhammad Rizqi Nazhan, 9, serta Nur Aqeela Rawida, 6.
Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, pula dibawa ke rumahnya di Kampung Sungai Itek di Gopeng sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tubong selepas subuh tadi.
[caption id="attachment_700924" align="aligncenter" width="771"]
Sembilan jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan semalam selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di FRU Unit 5, Sungai Senam di Ipoh pada 14 Mei 2025. Terdahulu tujuh jenazah beragama Islam disolatkan di surau IPD Hilir Perak. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Dalam pada itu, jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dibawa balik ke kediamannya di Lunas, Kedah dan dijangka dikebumikan pada 10 pagi ini.
Jasad Koperal Nurit Ak Pandak, 34, dan Sarjan S. Perumal, 44, masing-masing akan disemadikan di Kampung Batu Berangkai, Kampar pada 11 pagi dan Krematorium Buntong petang ini.
Terdahulu, sembilan jenazah dan jasad anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan pagi Selasa selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi PDRM di FRU Unit 5, Sungai Senam, di sini pada 3.46 pagi.
- BERNAMA


