ad
AGENDA

Kelab penyokong tuntut keadilan untuk Faisal Halim, pelaku mesti dikenal pasti

9 Mei 2025, 12:00 PM
Kelab penyokong tuntut keadilan untuk Faisal Halim, pelaku mesti dikenal pasti
Kelab penyokong tuntut keadilan untuk Faisal Halim, pelaku mesti dikenal pasti
Kelab penyokong tuntut keadilan untuk Faisal Halim, pelaku mesti dikenal pasti

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) menuntut keadilan untuk pemain Selangor FC Faisal Halim dan menggesa siasatan diteruskan meskipun kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Presidennya Mohd Faizal Wahid berkata setiap kes jenayah perlu disiasat secara menyeluruh kerana mangsa berhak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Setiap jenayah perlu ditangkap dan mangsa keadaan perlu diadili sebaiknya. Kes ini hampir setahun namun masih belum menemui keadilan.

“Kami sebagai penyokong bola sepak amat terkejut dengan keputusan (NFA) ini. Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

[caption id="attachment_647755" align="aligncenter" width="809"] Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pemain bola sepak tempatan sekiranya insiden seumpama ini berulang tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Bukan sahaja pemain, seluruh pasukan dan penyokong akan bimbang jika jenayah lebih teruk berlaku apabila pelaku sebenar gagal diberkas,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, Faizal mencadangkan agar pemain dilengkapi pengawal peribadi selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diperluaskan, khususnya di lokasi berisiko.

“Tahap keselamatan perlu diperketat secara maksimum,” katanya.

[caption id="attachment_641295" align="aligncenter" width="813"] Keadaan Faisal Halim selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara pada 5 Mei 2024. Foto ihsan laman X Fina Nasrom[/caption]

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Pemain sayap Selangor FC itu mengalami lecur tahap empat dan menjalani beberapa siri pembedahan serta rawatan fisioterapi.

Dua bulan selepas kejadian, Dewan Negeri Selangor meluluskan usul tergempar mengecam keganasan terhadap atlet sukan yang turut mendapat sokongan wakil kerajaan dan pembangkang.

Dalam usul berkenaan, Ahli Dewan Negeri menggesa siasatan menyeluruh dijalankan dan hasilnya didedahkan kepada umum.

Susulan itu, polis Selangor memaklumkan siasatan kes telah diambil alih oleh pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Semalam, firma guaman Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co yang mewakili Faisal memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA selepas pihak polis tidak mengesan sebarang petunjuk yang mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.