Oleh Muhammad Haziq Roshidi
SHAH ALAM, 1 MEI: Seramai 1,500 peserta membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini bagi menyertai Larian Hari Wanita Antarabangsa, inisiatif Kerajaan Negeri menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program larian berkenaan dirangka khusus untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serentak merancakkan aktiviti pelancongan domestik.
[caption id="attachment_699241" align="aligncenter" width="812"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melepaskan peserta larian Hari Wanita Antarabangsa di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Pastinya program ini dapat membantu orang ramai meningkatkan gaya hidup sihat. Kami juga mengambil inisiatif ini bagi mempromosikan kempen TMS2025 yang sudah mencecah hampir 2 juta pengunjung setakat Mac," katanya ketika ditemui.
Terdahulu Amirudin melepaskan peserta larian berkenaan bagi kategori 10km dan 5km yang berlangsung meriah dalam suasana santai dan kekeluargaan.
Lebih menarik, acara larian turut diserikan dengan penganjuran Festival Makanan Mega Selangor yang kembali selepas sekian lama tidak diadakan.
[caption id="attachment_699240" align="aligncenter" width="812"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (lima, kiri) dan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (lima, kanan) bergambar selepas melepaskan peserta larian Hari Wanita Antarabangsa di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Membuka tirainya hari ini hingga 4 Mei, festival berkenaan menawarkan pelbagai acara menarik lagi unik termasuk demonstrasi makanan dan persembahan malam kebudayaan.
Selepas penganjuran Festival Makanan Mega Selangor, TMS2025 bakal dirancakkan lagi melalui penganjuran Festival Kampung Baru menjelang Ogos bertujuan menonjolkan identiti Kampung Baru di seluruh negeri.
TMS2025 menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.