SHAH ALAM, 30 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 4 petang.
Cuaca sama dijangka melanda beberapa daerah di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
Agensi itu memaklumkan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


