KUALA TERENGGANU, 29 APRIL: Suri rumah yang aktif menjalankan kegiatan mencuri wang tabung surau Kampung Padang di Jalan Gelong Bilal, Pasir Panjang di sini berjaya ditangkap kira-kira 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 34 tahun yang berasal dari Bukit Payong, Marang itu ditahan ketika sedang asyik mengumpil tabung dengan menggunakan sebatang senduk besi dan pembaris besi.
Beliau berkata kejadian itu disedari penduduk kampung yang kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada imam surau berkenaan.
"Siasatan mendapati suspek sama dipercayai mencuri wang di surau berkenaan pada 21 April lalu. Pada waktu itu suspek memberi alasan ingin tumpang berehat tetapi setelah diperiksa wang tabung anggaran sekitar RM300 telah hilang.
"Suspek juga dipercayai mengulangi perbuatan itu pada 25 April tetapi dia berjaya melarikan diri selepas kegiatannya disedari ibu kepada imam surau berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Azli berkata percubaan kali ketiga suspek akhirnya membawa padah apabila dia ditangkap bersama wang tabung RM22.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati surau berkenaan tidak berpagar dan tidak dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek direman empat hari hingga 1 Mei. Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
- BERNAMA