ad
PBT

278 penjaja tanpa lesen dikesan di Sepang

28 Apr 2025, 8:11 AM
278 penjaja tanpa lesen dikesan di Sepang

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengenal pasti 278 penjaja tanpa lesen beroperasi di kawasan pentadbiran berkenaan.

Timbalan Yang Dipertuanya Muhamad Shah Osmin berkata sepanjang tempoh pemantauan 316 notis dikeluarkan meliputi pelbagai bentuk kesalahan.

“Selain itu 152 tindakan sitaan dilakukan termasuk 101 kes sitaan terhadap barangan yang ditinggalkan penjaja di lokasi perniagaan mereka.

“Ini menunjukkan pendekatan tegas pihak MPSepang dalam memastikan tiada kompromi terhadap aktiviti yang mencemarkan imej dan menimbul kacau ganggu lalu lintas,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh hari ini.

Muhamad Shah berkata MPSepang turut mengambil tindakan terhadap penjaja yang menjual di hadapan sekolah bagi memastikan insiden kematian tidak berulang.

Dalam pada itu, jelasnya MPSepang tidak menolak kepentingan ekonomi mikro yang dijana melalui aktiviti penjajaan terutama golongan B40 dan usahawan kecil.

“Namun, segala aktiviti hendaklah dijalankan secara berlesen, terkawal dan beretika. Kita akan terus menyokong usaha pendigitalan data penjaja.

“Termasuk penetapan lokasi strategik supaya usaha penyusunan semula penjaja dapat dijalankan dengan lebih teratur dan mesra komuniti,” katanya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.