ad
AGENDA

Negeri fahami trauma penduduk Taman Sri Muda, langkah berterusan tangani banjir

22 Apr 2025, 10:00 AM
Negeri fahami trauma penduduk Taman Sri Muda, langkah berterusan tangani banjir
Negeri fahami trauma penduduk Taman Sri Muda, langkah berterusan tangani banjir
Negeri fahami trauma penduduk Taman Sri Muda, langkah berterusan tangani banjir

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Negeri memahami perasaan trauma yang dialami penduduk Taman Sri Muda setiap kali berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan situasi banjir kilat di Taman Sri Muda menunjukkan perkembangan lebih baik berbanding ketika bencana sama yang dialami pada 2021.

“Saya faham trauma mereka tinggi. Tetapi apa yang kita ingin tunjukkan, selepas insiden banjir 2021, Taman Sri Muda dilanda banjir kilat tidak kurang daripada lima kali.

“Tiada perpindahan penduduk kecuali dalam kejadian banjir baru-baru ini. Tetapi itu pun berlaku kerana pam tidak dapat berfungsi kerana tiada bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Usahasama antara Nestle Malaysia dan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Amirudin menambah, Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa langkah berterusan menerusi penubuhan pasukan petugas khas termasuk memantau kerja pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita perlu buat langkah lain seperti bagaimana kita mahu tangani isu di kunci air dan kawasan perparitan. Kita juga akan lihat PBT supaya mereka tidak culas untuk selenggara aset,” katanya.

Semalam, wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas memaklumkan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan projek mitigasi banjir di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pasukan yang turut dianggotai wakil penduduk, ahli majlis dan wakil pejabat Menteri Besar akan memantau projek berkenaan yang dijadual bermula akhir Mei atau awal Jun.

Minggu lalu, beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata banjir itu berlaku susulan hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang besar.

[caption id="attachment_697791" align="aligncenter" width="1276"] Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad (tengah) menerima memorandum penduduk Taman Sri Muda berhubung masalah banjir di kawasan berkenaan pada 21 April 2025. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad[/caption]

[caption id="attachment_696113" align="aligncenter" width="1195"] Keadaan banjir kilat yang melanda kawasan Sri Muda pada 11 April 2025. Foto AFIX REDZUAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.