ad
AGENDA

Lawatan kerja Anwar ke Thailand perkukuh hubungan dua hala, kestabilan serantau

17 Apr 2025, 12:49 AM
Lawatan kerja Anwar ke Thailand perkukuh hubungan dua hala, kestabilan serantau

BANGKOK, 17 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Thailand mulai hari ini dan beliau dijangka bertemu rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama rentas sempadan.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata perdana menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Paetongtarn di Rumah Kerajaan.

"Susulan mesyuarat itu, kedua-dua perdana menteri dijadual menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan berkaitan kerja tebatan banjir dan pengorekan membabitkan Sungai Golok," katanya kepada media Malaysia semalam.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyusuli hasil Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 yang diadakan pada 16 Disember 2024 di Putrajaya.

Anwar dijangka tiba di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand yang terletak berhampiran Don Mueang petang ini dengan pesawat khas.

Ini adalah lawatan kedua perdana menteri ke Thailand sejak memegang tampuk kepimpinan pada 2022 selepas kunjungan pertama pada 2023, yang menyaksikan beliau bertemu Jeneral Prayut Chan-o-cha iaitu Perdana Menteri Thailand ketika itu.

Bong berkata Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim ketika lawatan kerja dua hari itu.

Beliau berkata satu Memorandum Persefahaman juga akan ditandatangani oleh Nanta dan Menteri Pengangkutatn Thailand iaitu Suriya Juangroongruangkit.

Ketika lawatan itu, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berhubung isu lanjutan gencatan senjata antara pemerintah negara itu dan kumpulan penentang bagi menyokong usaha membantu mangsa gempa bumi.

Bagaimanapun, masa dan lokasi pertemuan kedua-dua pemimpin belum ditentukan.

Bong juga berkata Anwar dijangka mengadakan perbincangan dengan pemimpin industri dan perniagaan Thailand di sebuah hotel di Bangkok.

Pada sebelah petang, Anwar dijadual mengadakan pertemuan peribadi dengan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dan antara agenda yang dijangka dibincangkan ialah proses damai Myanmar serta tarif AS.

Susulan pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri majlis makan malam dengan Majlis Penasihat Tidak Rasmi yang melibatkan wakil dari Singapura, Indonesia dan Filipina.

Perdana menteri dijadual pulang ke tanah air pada 18 April.

Pada 2024, Thailand adalah rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan USD25.03 bilion (RM114.56 bilion).

Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah USD3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding USD3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.