AGENDA

MB: Agihan sumbangan kepada 469 mangsa Putra Heights selesai minggu ini

9 Apr 2025, 12:00 PM
MB: Agihan sumbangan kepada 469 mangsa Putra Heights selesai minggu ini

SHAH ALAM, 9 APRIL: Fasa pertama agihan sumbangan segera kepada mangsa insiden letupan saluran gas minggu lalu dijangka selesai minggu ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata setakat ini 219 mangsa terkesan telah menerima bantuan itu yang mula diagih Isnin lalu.

"Kita catat 613 pendaftaran keluarga terbabit dengan insiden, tetapi selepas proses verifikasi dimuktamadkan 469 ketua atau isi rumah layak terima sumbangan RM10,000 atau RM5,000.

"Menerusi proses penyerahan yang bermula Isnin lalu, 219 mangsa terkesan sudah menerimanya manakala 250 lagi akan terima dalam minggu ini," katanya pada sidang media khas di Dewan Annexe, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan 81 pemilik rumah yang musnah akibat kejadian itu menerima sumbangan segera berjumlah RM10,000.

Jelasnya, jumlah berkenaan disalurkan kerajaan persekutuan sebanyak RM5,000 manakala separuh lagi sumbangan Petronas selain kediaman mangsa tidak terbakar turut menerima bantuan berjumlah RM5,000 selain penyewa juga diberi jumlah sama.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan mangsa kebakaran yang kehilangan atau mengalami kemusnahan geran boleh menggantikan dokumen itu bermula minggu depan.

"Kerajaan Negeri menerusi pejabat tanah daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak khususnya di Kampung Kuala Sungai Baru minggu depan selepas mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Kita ada menerima laporan berhubung kehilangan, kemusnahan geran dan dokumen tanah. Justeru, kita akan bantu dengan membuka kaunter bergerak.

"Mereka yang terkesan dan mengalami kehilangan atau kerosakan boleh gantinya dengan berurusan di van bergerak pejabat tanah dan galian Selangor yang diurus pejabat tanah daerah Petaling," katanya.