SHAH ALAM, 9 APRIL: Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia di Putra Heights akan ditutup tepat jam 10 malam ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata PPS di Masjid Putra Heights pula dijangka ditutup hujung minggu ini atau selewatnya Isnin depan.
"Setakat ini di Dewan Camelia kini menempatkan 17 keluarga sementara di Masjid Putra Height pula seramai 87 keluarga. Melihat pada angka ini kita boleh laksana proses penutupan seawal akhir minggu ini.
"Selain itu, penutupan PPS adalah berikutan kebenaran pulang ke kediaman masing-masing dan pemberian duit sewa kepada semua mangsa.
"Mereka yang dibenarkan pulang juga menerima sumbangan bakul makanan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dijangka bertahan tiga minggu ke satu bulan," katanya pada sidang media khas hari ini.
[caption id="attachment_695423" align="alignnone" width="836"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sidang media di Wisma Dewan Annex, Shah Alam pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan setakat ini sebanyak 270 kediaman disahkan selamat dan boleh diduduki serta boleh dilaksana pembaikan kecil.
"Setiap kediaman ini mula disalurkan bekalan elektrik dan air serta pemilik yang mengalami kerosakan kecil dibenarkan melakukan pembaikan segera demi keselamatan dan keselesaan.
"Rumah-rumah yang mengalami masalah kecil boleh mula baiki, tidak perlu tunggu kontraktor kerajaan... dan akan ada sumbangan standard yang dicadang oleh jawatankuasa pemulihan," ujarnya.


