SUBANG JAYA, 8 APRIL: Enam kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) bawah 18 tahun di pusat pemindahan sementara (PPS), Masjid Putra Heights dikenal pasti layak menerima bantuan di bawah skim Anak Istimewa Selangor (ANIS).
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata bantuan akan diselaras melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi memastikan kebajikan OKU tersebut terus diberi perhatian meskipun dalam situasi bencana.
Menurutnya lagi, inisiatif itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan rentan tercicir, khususnya anak-anak berkeperluan khas.
“Pihak YAWAS telah turun ke lapangan, melihat di PPS dari segi keperluan mereka, kita jumpa tadi seorang anak mempunyai sumbing.
“Kita mahu kenal pasti apa keperluan mungkin peralatan yang berkaitan. Setakat ini enam orang sudah mohon dan saya meminta pihak ANIS untuk proses dengan segera,” katanya ketika ditemui PPS tersebut.
[caption id="attachment_694600" align="alignnone" width="863"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (kanan) ketika bertemu pengamal media selepas menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 2 April 2025. Foto BERNAMA.[/caption]
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
Setakat ini, seramai 353 penduduk daripada 91 keluarga masih berada di PPS Masjid Putra Heights susulan insiden pencemaran udara yang berlaku pada beberapa hari lalu.