SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM7.356 juta bagi menampung kos sewaan rumah 613 keluarga yang terlibat insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights minggu lalu.
Dato’ Menteri Besar berkata jumlah berkenaan merangkumi sumbangan RM2,000 kepada setiap keluarga sepanjang enam bulan, anggaran tempoh untuk mangsa membaiki atau membina semula rumah.
“Kita masih tawarkan rumah Smart Sewa (Kota Warisan) dan AirBnb. Kalau mereka menginap di sini, mereka boleh gunakan sumbangan ini untuk membayar. Kita serahkan wang kepada ketua isi rumah.
“Kita anggarkan sekitar RM1,000 kadar sewa di Kampung Kuala Sungai Baru. Kita beri sumbangan RM2,000 dan saya rasa jumlah ini berpadanan dengan musibah ini. Boleh juga cari rumah lain selain dari kita tawarkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_695060" align="alignnone" width="828"] Keadaan kawasan kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Bercakap pada sidang media di Bangunan Annex, Amirudin berkata keputusan itu dibuat selepas menilai laporan dan aduan mangsa termasuk lokasi rumah Smart Sewa yang agak jauh.
“Jadi kita putuskan lebih baik kita beri duit sewa. Kalau mereka berminat untuk di duduk di Taman Warisan, boleh duduk situ. Kalau mahu AirBnb sekitar sini, duduklah dan dapat dua bulan percuma, selebihnya ditanggung negeri,” katanya.
Beliau turut mengumumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Johary Anuar mengetuai fasa pemulihan termasuk keadaan dan kaedah baik pulih kawasan seperti rumah, jalan, infrastruktur dan fasiliti awam.
“Johary juga merupakan pengarah unit perancang ekonomi negeri dan akan melihat keseluruhan proses pemulihan. Kita sekarang sudah berada dalam fasa pemulihan, jadi proses itu akan meliputi kediaman yang perlu diperbaiki serta kos membaik pulih infrastruktur,” katanya.