SUBANG JAYA, 6 APRIL: Sebanyak 87 kediaman mengalami kerosakan besar (lebih 20 peratus) susulan kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 220 rumah disahkan selamat atau tidak terjejas manakala 132 mengalami kerosakan kecil (kurang 20 peratus).
“Pihak bomba selesai membuat penilaian kerosakan rumah bagi kali kedua yang lebih terperinci termasuk dalam rumah. Penilaian kali ini merangkumi radius 325 meter dari pusat letupan.
“Hasil penilaian ini adalah diumumkan bahawa pihak bomba mengesahkan daripada 439 rumah yang dinilai dalam radius tersebut, sebanyak 220 rumah adalah selamat, manakala 219 rumah terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pos kawalan tempat kejadian di Putra Heights di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Razali Wan Ismail.
Hussein menambah, kediaman yang mengalami kerosakan bawah 20 peratus dibenarkan dibaik pulih bermula hari ini dan senarai rumah terbabit akan diedar dalam masa terdekat.
Bagi penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, katanya, sebanyak 21 rumah disahkan selamat dan boleh diduduki semula.
“Kita telah membenarkan 21 rumah boleh diduduki di kampung itu. Rumah terbabit selamat diduduki dan ada kemudahan utiliti iaitu elektrik dan air,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.



