SUBANG JAYA, 3 APRIL: Wang tunai RM5,000 milik abang bekas pemain Selangor FC hangus apabila rumah milik keluarganya di Kampung Kuala Sungai Baru musnah dalam kejadian kebakaran paip gas pada Selasa.
Nazrin Mohd Nasir, 22, yang kini menjadi jurulatih berkata wang berkenaan untuk majlis merisik bakal kakak ipar yang sepatutnya berlangsung di Negeri Sembilan semalam.
“Selain duit barangan lain seperti cincin, hantaran juga musnah terbakar. Rumah mak dengan kakak yang terletak berhampiran habis terbakar.
[caption id="attachment_694655" align="alignleft" width="402"]
Mangsa kebakaran saluran paip gas Nazrin Mohd Nasir ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bengkel abang di kawasan sama juga hangus. Ada beberapa biji kereta dan motosikal pelanggan. Kira-kira 10 kenderaan musnah termasuk milik keluarga.
“Kami anggarkan nilai kerugian hampir RM1 juta. Yang sedihnya, rumah mak ini kami bina sama-sama. Sembilan beradik bantu ayah siapkan rumah ini,” katanya kepada Media Selangor.
Mengakui masih trauma dengan insiden, ketika itu beliau sedang tidur dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat
“Kami sekeluarga berlari ke bilik air menyelamatkan diri. Saya ingatkan kapal terbang terhempas. Rupanya saluran gas meletup. Saya dan abang melecur di belakang tapi lecuran abang lebih teruk. Emak dan ayah juga tercedera,” katanya.
Nazrin yang juga bekas pemain Kedah FA dan PDRM FC berharap kerajaan membantu mereka mendapatkan semula kediaman untuk mereka berteduh.
Setakat jam 1 tengah hari tadi, Nazrin antara 339 mangsa daripada 89 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguba Masjid Putra Height yang dibuka sejak 1 April.


