ad
AGENDA

JPN ganti dokumen pengenalan diri percuma kepada mangsa kebakaran

2 Apr 2025, 2:32 PM
JPN ganti dokumen pengenalan diri percuma kepada mangsa kebakaran

PUTRAJAYA, 2 APRIL: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, semalam.

JPN, dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa yang kehilangan kad pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang dikeluarkan oleh jabatan itu boleh mendapatkan dokumen gantian tersebut tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, JPN memaklumkan MEKAR akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra, Putra Heights, esok dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut JPN, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengarahkan jabatan itu untuk menggerakkan perkhidmatan Bas MEKAR ke lokasi berkenaan bagi meringankan beban mangsa yang menghadapi kesukaran untuk ke pejabat JPN pada masa ini.

"Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, sekali gus memudahkan sebarang urusan rasmi yang memerlukan dokumen tersebut kelak," menurut kenyataan itu.

JPN turut menyatakan komitmen untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat yang terjejas dan berharap usaha itu dapat membantu mangsa serta keluarga mereka dalam situasi yang mencabar ini.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.