EXCO

EXCO: Sedia tempat perlindungan selesa, satu lagi PPS dibuka

2 Apr 2025, 5:17 AM
EXCO: Sedia tempat perlindungan selesa, satu lagi PPS dibuka

SHAH ALAM, 2 APRIL: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, kata EXCO pengurusan bencana.

Mohd Najwan Halimi berkata PPS di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ Putra Height yang dibuka kira-kira jam 8.30 malam itu kini menempatkan lapan keluarga.

“PPS di Masjid Putra Height kini menempatkan 109 keluarga dengan lebih 400 mangsa… kita tidak mahu berlaku kesesakan dan buka satu lagi PPS yang jaraknya kira-kira tujuh kilometer.

“Selain itu, seramai 12 mangsa sedang dirawat di zon merah selain 50 zon kuning serta 38 (zon hijau). Perkembangan terkini mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dihubungi SelangorKini.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.

Seramai 78 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan sembilan balai bomba dan penyelamat antaranya Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan Rawang.

Berhubung penambahbaikan pelan pengurusan bencana berhubung insiden berkenaan, Mohd Najwan yang juga EXCO belia sukan menjelaskan Kerajaan Negeri akan berbincang perkara itu secara terperinci.

“Kita akan bincangkan perkara ini bersama Petronas termasuk pihak berkuasa tempatan daripada pelbagai aspek.

“Perlu ada siasatan terperinci berhubung perkara ini… kita akan bincangkan dengan semua pihak nanti,” ujarnya.