SELANGOR

Enam daerah Selangor, KL diramal ribut petir hingga 10 malam

31 Mac 2025, 12:48 PM
Enam daerah Selangor, KL diramal ribut petir hingga 10 malam

SHAH ALAM, 31 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat hingga 10 malam.

Cuaca disertai hujan lebat juga dijangka berlaku di seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan beberapa daerah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Sarawak dan Sabah.

Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.