KUALA LUMPUR, 29 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa melawat Fatimah Nuha Mustaza, mahasiswa Selangor yang terlibat kemalangan di Jordan pada awal Mac lalu.
Kunjungan Amirudin di kediaman keluarga Fatimah di Taman Keramat di sini, diiringi setiausaha politiknya A Rahim Kasdi dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal.
Amirudin berkata pihaknya sedia membantu Fatimah dan berharap mahasiswa Universiti Mu’tah, Jordan itu dapat segera pulih dan meneruskan pengajiannya.
“Kerajaan Negeri sedia membantu dari semasa ke semasa. Kita harap pelajar ini dapat pelepasan kuliah supaya betul-betul pulih. Kita bersyukur dari hari pertama sampai ke hari ini, perkembangan beliau sangat positif,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan MBI dan peribadi kepada keluarga Fatimah.
Sementara itu, bapa Fatimah, Mustaza Abdul Aziz, 51, berkata anaknya pulang ke tanahair pada 25 Mac lalu selepas menerima rawatan, termasuk menjalani dua pembedahan di Jordan.
Menurut Mustaza, Fatimah mengalami keretakan tulang dan sendi hampir seluruh anggota badan dan perlu menjalani rawatan susulan dan terapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Semasa dapat berita Fatimah kemalangan di sana, saya dimaklumkan keadaannya kritikal 50-50. Tetapi syukur dengan doa semua, Fatimah akhirnya pulih dan boleh pulang ke Malaysia dengan selamat.
“Kami juga bertuah kerana dapat bantuan kerajaan menerusi Kedutaan Malaysia di Jordan yang amat prihatin dan Kerajaan Negeri yang turut menghulurkan sumbangan sejak awal,” katanya.
Mustaza menambah, keluarganya tidak pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak dan Sabak Bernam pada Syawal ini kerana keadaan Fatimah yang masih memerlukan rehat.
Jelas beliau, anak kedua daripada lima beradik ini juga berharap dapat pulang semula ke Jordan pada Julai depan untuk meneruskan pengajian dalam bidang Bahasa Arab dan Kesusasteraan.
“Sepatutnya Fatimah akan pulang cuti pada Julai hingga Oktober ini, tetapi beliau mahu balik ke Jordan dan sambung pengajian kerana mahu tamat pengajian bersama rakan sekuliah,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, empat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Mu'tah, Jordan, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu.
Fatimah dilaporkan cedera parah manakala seorang lagi mahasiswa Selangor, Sumayya Azamuddin mengalami cedera ringan. Dua lagi merupakan pelajar dari Johor.
[caption id="attachment_693851" align="aligncenter" width="690"]
Penuntut Universiti Mu'tah, Jordan, Fatimah Nuha Mustaza bersama ibu Siti Alawiah Sahri dan bapa Mustaza Abdul Aziz ketika menerima kunjungan Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada 28 March 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]


