SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Selangor meneliti cadangan memperluas perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) ke serata negeri pada tahun ini.
EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata pihaknya kini sedang menilai kertas cadangan dikemukakan pemain industri dan 14 syarikat telah menyertai Permintaan Untuk Cadangan (RFP).
“Ada kemungkinan negeri akan perluaskan khidmat DRT di lebih banyak kawasan dan bangunan kerana terdapat permintaan tertinggi. 14 syarikat ini telah menghadiri sesi taklimat dan membeli borang (RFP) pada 14 Mac lepas.
“Proses lantikan dan pemilihan tidak akan mengambil tempoh yang panjang. Ia akan dibuat dua minggu selepas permohonan RFP ditutup pada 7 April,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Sze Han lagi, Kerajaan Negeri dijangka akan membentangkan pelan awal pelaksanaan khidmat DRT pada Mei depan.
[caption id="attachment_611138" align="alignnone" width="826"] EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi aplikasi mobi bagi van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Terdahulu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mempelawa syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai RFP bagi pelaksanaan DRT sejak 12 Mac lepas.
DRT merujuk kepada sistem pengangkutan yang menyesuaikan laluan dan jadual berdasarkan permintaan penumpang, di samping menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih fleksibel dan cekap, terutama bagi penyambungan perjalanan "first mile dan last mile".
Kerajaan Selangor sebelum ini melaksanakan projek rintis DRT dari 21 November 2023 hingga 31 Julai 2024 di lapan zon dalam beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan.