AGENDA

Pecah tanah Taman Aero Selangor tengah tahun, hab aeroangkasa global

25 Mac 2025, 3:00 PM
Pecah tanah Taman Aero Selangor tengah tahun, hab aeroangkasa global

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis pecah tanah Taman Aero Selangor (SAP) dijangka berlangsung sekitar Jun atau Julai tahun ini, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan taman di kawasan seluas hingga 200 ekar itu, antara lain bagi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa global, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, ketika ini Selangor adalah peneraju bidang aeroangkasa di Malaysia dengan 68 peratus kegiatan berkaitan sektor itu seperti pembuatan dan perkhidmatan bertapak di negeri ini.

“Sama ada perkhidmatan seperti lapangan terbang dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sehinggalah kepada pembuatan berada di Selangor, cuma sekarang ini bagaimana kita nak tambah angka itu.

“Ia menerusi beberapa rencana, termasuk program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan peluang pekerjaan bergaji hingga RM8,000 melalui sistem latihan disusun Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Dialog TVS: Menuju Selangor 2030, Apa Strategi MB’ yang disiarkan malam ini.

Sebelum ini Amirudin berkata Selangor akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membangunkan SAP.

Perjanjian yang dijangka dimeterai bulan ini antara lain bertujuan membangunkan industri aeroangkasa sebagai usaha berterusan memacu ekonomi negeri.

Industri aeroangkasa merupakan antara sektor tumpuan dalam Dasar Speed Selangor yang diumum Amirudin dalam Belanjawan Selangor 2025.

Selangor turut merangka Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030, iaitu strategi 10 tahun bagi merealisasi pembangunan industri aeroangkasa dan memacu hab perindustrian aeroangkasa.

Pembangunan SAP yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan turut dilaksanakan bagi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara.