OLEH AIDA NYAN
GOMBAK, 22 MAC: Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang menjadi hab pengangkutan utama ke Pantai Timur dianggap setanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tinjauan Media Selangor ke terminal yang mula beroperasi pada 15 Mac lalu mendapati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan disediakan bagi memenuhi keperluan pengunjung.
Kakitangan kerajaan Rabiatul Adawiyah Ismail, 34, mengakui teruja dengan reka bentuk moden terminal itu, yang dibina untuk menampung jumlah pengguna yang tinggi ke Pantai Timur.
Bagaimanapun, dia yang menetap di kawasan berhampiran berharap lebih banyak pilihan bas disediakan supaya penumpang tidak perlu ke Terminal Bersepadu Selatan atau Greenwood lagi.
[caption id="attachment_692813" align="aligncenter" width="718"] Beberapa penumpang mula menggunakan perkhidmatan bas ekspress bagi pulang ke kampung halaman ketika tinjauan fotoBernama di Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Jalan Terminal Putra, Taman Melati pada 22 Mac 2025. Foto BERNAMA[/caption]
"Saya memang ulang-alik ke Pantai Timur dua minggu sekali kerana suami di sana. Sebelum ini, saya naik di tempat lain jadi memang tidak sangka terminal ini macam KLIA," katanya.
"Sekarang pilihan bas yang ada hanya dua, mungkin TBG boleh pertimbangkan untuk guna pihak ketiga bagi memudahkan pembelian tiket."
TBG bakal menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, aliran transit ringan (LRT), dan projek rel utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa hadapan.
Ia sekali gus meningkatkan kemudahan perjalanan bagi penumpang ke ibu kota dari Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Seorang lagi penumpang yang ditemui ketika menunggu bas ke Kuala Terengganu, Mohamad Khalili Zul Syahmie Nordin, 33, berkongsi rasa kagum terhadap kemudahan di terminal itu.
[caption id="attachment_692814" align="aligncenter" width="727"] Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang mula beroperasi sepenuhnya pada 22 Mac 2025 mendapat pujian atas kemudahan moden, perkhidmatan yang cekap, serta reka bentuk luas dan selesa bagi keselesaan penumpang. Foto BERNAMA[/caption]
“Rasa macam datang lapangan terbang. Tempat duduk selesa, ruang menunggu luas, sistem parkir yang moden. Sangat mudah untuk turunkan penumpang dan parkir kereta,” katanya yang juga seorang guru.
Namun, bapa dua anak itu mencadangkan pihak pengurusan menambah kemudahan mesin teler automatik (ATM) dan menambah baik sistem imbasan tiket bagi mengelak kesesakan semasa musim perayaan.
"Mesin ATM diperlukan untuk kegunaan jika berlaku kecemasan dan penggunaan tiket fizikal perlu dikurangkan supaya tidak berlaku kesesakan semasa raya nanti," katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi TBG Mohd Muzammil Mohd Alias menjangka peningkatan penumpang sempena musim perayaan meskipun terminal tersebut memulakan operasi pada 15 Mac.
"Ada peningkatan (penumpang), setakat ini dianggarkan sekitar 100 penumpang menggunakan perkhidmatan bas di TBG. Kami harap lebih banyak penumpang masa musim perayaan," katanya.
Hari ini, TBG mengumumkan tambahan tiket bas ke Kota Bharu bagi perjalanan antara 25 hingga 27 Mac untuk memenuhi permintaan tinggi sempena Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Tiket bas tambahan mula dijual di kaunter terminal TBG atau boleh didapati melalui laman web rasmi syarikat tersebut di tbg.com.my.