SHAH ALAM, 19 MAC: Penjawat awam negeri menerima tambahan setengah gaji melalui Insentif Rekod Hasil Negeri, menjadikan keseluruhan bantuan khas kewangan Aidilfitri sebulan setengah gaji.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu sumbangan tersebut disalur secara berperingkat mulai 25 Mac hingga sebelum 15 April melibatkan kesan kewangan RM38.75 juta.
Katanya, insentif tambahan setengah bulan gaji kepada lebih 18,000 kakitangan itu berikutan pencapaian semasa prestasi kutipan hasil yang memberangsangkan iaitu hampir RM700 juta.
Berucap dalam program Mahabbah Ramadan Madani Bersama Penjawat Awam Selangor, beliau berkata kutipan RM650 juta diperoleh pada Februari, menjadikan keseluruhan setakat ini RM691 juta.
“Ini menunjukkan kita di landasan betul. Sebab itu, saya umum beberapa insentif keseluruhan RM38.75 juta yang meliputi setengah bulan gaji atau minimum RM1,000,” katanya pada 19 Mac
[caption id="attachment_692252" align="alignnone" width="943"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Penjawat Awam Selangor 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 19 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam sidang media, Amirudin menjelaskan peruntukan itu merangkumi pemberian RM250 kepada 50,000 kakitangan persekutuan berpendapatan RM3,000 ke bawah yang berkhidmat di Selangor.
Katanya, insentif setengah bulan elaun atau minimum RM500 pula dinikmati pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, kampung bagan, penyelia Wanita Berdaya Selangor dan Penggerak Belia Selangor.
“Petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang dibayar secara berperingkat.
BKK pertama dibayar pada 30 Disember seterusnya 25 Mac sempena sambutan Aidilfitri.